Thursday, February 26, 2009

Muslimah

Imbas kembali ketika masih anak ingusan
riang berlarian di laman
menyanyikan lagu tiga kupang bersama teman
seumur Aisyah menghafaz hadith Rasulullah
seorang anak muslimah
apakah lagu yg jadi hafalan?

Di zaman persekolahan akal mudanya di sogokkan khayalan
'Merpati Putih Terbang Lagi'
dan semangat seorang guru History
dengan kebanggaan kegemilangan
peradaban barat silam seorang remaja muslimah apakah kitab
yg membajai azam?

Tika pergaulan tambah meluas
seorang teman memberikan pendapat
"Gincu dan celak tanda kedewasaan"
Seorang puteri muslimah
apakah bukti kematangan?

Kala gelisah berjemur di tengah panas
dalam barisan panjang bakal siswazah
Terdengar sindiran pemuda melayu yg Islam
"Cubalah invent kipas angin yg boleh dipasang
di leher yg tersembunyi di bawah
tudung panjang." Seorang muslimah yg tidak keliru
bagaimanakah jawaban ?

Terbukti Khadijah menyerahkan segala buat suami tercinta
Pun begitu seorang isteri cemas di hati akan nasibnya di hari muka
Seorang muslimah solehah siapakah tempat pergantungan ?

Teman-teman ghairah mengelilingi dunia mencapai impian
menyaksikan tujuh keajaiban alam
seorang hamba yg hina sedar Thousand Wonders of God pada
dirinya seorang muslimah beriman apakah lagi yg jadi impian ?

Waktu bertugas di sebuah sekolah di bandaraya terbesar
seorang guru mengeluh melihat kerenah pelajar
"Bagaimana akan ku ajar dumb, dumb pupils yg semakin biadab..."
seorang muslimah bergelar ustazah apakah tindakan yg wajar ?

Zaman silih berganti tiba kini giliran mendidik anak sendiri
Kala suara azan di seru anak bujangnya
masih menggeliat di kusyen empuk
Tangan memegang 'gameboy' kekadang
'remote' Bagaimana diharap bakal menyambut
seruan mujahid di medan jihad mengangkat senjata membela ummat
seorang ibu leternya tiada perhentian
seorang muslimah berhikmah
apakah penyelesaian ?

Direnung alam sungguh harmoni ciptaan Tuhan
Diperhatikan makhluk bertindak zalim sesama insan
melepasi batas kebinatangan
(kerana binatang membunuh hanya untuk mencari makan)
seorang perempuan hati menangis pedih di dalam
seorang muslimah sejati bagaimanakah perasaan?

Buat saudara seagama dipohon do'a serta harapan yg menjulang tinggi moga
nasib ummah akan terbela sedikit masa lagi
Buat ayahanda bonda yg telah pergi kasihnya abadi
Buat suami dan anak-anak tercinta sayangnya tidak berbelah bagi
namun ruang di hati belum terpenuhi
kerana rindu masih tidak terubati.....

Seorang muslimah mukminah
Di dalam sujud harapkan ketemu jawaban,
Hari ini, esok dan seterusnya untuk
siapa..

"Maka apakah kamu mengira bahawa Kami menjadikan kamu dgn percuma dan kamu tidak akan kembali kpd Kami ?" (Al Mu'minun:115)

Monday, February 23, 2009

Kempen Taja Set Selamatkan Aqidah

untuk maklumat lanjut layari http://nurilhakim.blogspot.com

Saturday, February 21, 2009

Maaf ya! Ini khusus untuk wanita...

Satu episod rancangan sitcom televisyen NBC Kanada, "Little Mosque on the Prairei" amat menarik perhatian penulis. Rancangan sitcom itu penulis tonton melalui MyTube.com. "Little Mosque on the Prairei" mengisahkan kehidupan sekelompok muslim Kanada di sebuah bandar di pinggir kawasan Prairei yang terkenal dengan penghasilan gandum.

Episod itu bermula dengan kecederaan yang dialami seorang pengusaha kafe muslim yang terjatuh ketika bertengkar dengan seorang pelanggan di kafenya. Setelah dirawat oleh seorang doktor muslim, beliau dinasihatkan supaya banyak beriadah dengan berenang bagi menguatkan ligamen lututnya. Oh, lupa nak dinyatakan bahawa kedua-dua pengusaha kafe dan doktor itu perempuan.

Pada satu hari, kedua-dua mereka pergi ke kolam renang milik perbandaran. Alhamdulillah, bandar itu mempunyai hari khusus untuk wanita menggunakan kolam renang. Maka soal aurat tidak menjadi persoalan kerana semua pengguna kolam renang pada hari itu ialah perempuan. Bagaimanapun masalah timbul kerana instructor kolam renang itu ialah seorang 'lelaki lembut'. Maka kedua-dua wanita muslim itu membantah kehadiran instructor itu atas alasan mereka beragama Islam dan menjadi satu kesalahan di sisi Islam untuk mereka berbikini di hadapan seorang lelaki bukan muhrim. Lelaki lembut itu mendakwa dia seorang 'gay' dan tidak bernafsu melihat perempuan. Jadi dia enggan meninggalkan kolam renang itu kerana dia bertugas pada hari itu. Pengusaha kafe dan doktor muslim itu akhirnya terpaksa mengalah dan tidak jadi berenang kerana kelas renang hanya dikendalikan oleh instructor 'gay' itu.

Maka bermulalah perjuangan doktor muslim itu untuk mendesak datuk bandar - yang juga seorang wanita - untuk menyediakan instructor renang wanita. Beliau memohon pertolongan ibunya, pegawai perhubungan awam di pejabat datuk bandar untuk melobi majlis perbandaran agar memenuhi tuntutannya. Datuk bandar bukan muslim itu tidak membantah cadangan tersebut tetapi berkata majlis perbandaran tidak mempunyai bajet yang cukup untuk menggaji seorang instructor renang wanita. Beliau (datuk bandar) bagaimanapun berjanji akan membawa perkara itu ke mesyuarat majlis jika doktor muslimah itu berjaya mengutip tandatangan sokongan daripada sekurang-kurang 120 wanita (jika ingatan saya belum pudar).

Ibu doktor muslim itu pula berhadapan dengan masalah. Jika permohonan anaknya itu diluluskan oleh mesyuarat majlis, maka harapannya untuk menyertai lawatan ke China akan terjejas. Ini kerana bajet untuk membiayai instructor renang wanita akan diambil daripada kos membiayai lawatan beliau ke China. Maksudnya, beliau tidak akan tersenarai menyertai lawatan ke China jika instruktor renang wanita digaji. Maka bermulalah usahanya untuk menggagalkan kempen pungutan tandatangan itu. Dalam salah satu slot sitcom itu, beliau cuba mempengaruhi seorang wanita bukan muslim agar tidak menurunkan tandatangan di kertas petisyen. Bagaimanapun cubaannya gagal dan wanita bukan muslim itu menurunkan tandatangan kerana menganggap idea menggaji seorang instructor wanita bagi perenang wanita adalah baik.

Saya tidak ingat kesudahan cerita itu kerana tumpuan saya terganggu dengan tugas-tugas lain di pejabat. Tetapi pengajaran yang diperolehi dari sitcom itu adalah, bukan menjadi satu keganjilan atau kesukaran untuk mengamalkan Islam di negara-negara minoriti muslim seperti Kanada. Walaupun Barat kini diserang sindrom Islamophobia (ketakutan terhadap Islam) pasca insiden 11 September 2001, masih ada di kalangan masyarakat dunia yang mampu berfikiran rasional dan mengamalkan toleransi. Sitcom "Little Mosque on the Prairie" adalah salah satu usah untuk mengikis sindrom Islamophobia itu. Memang ada pro dan kontra dengan penyiaran sitcom itu, tetapi penulis tidak mahu mengulasnya di sini.

Apa yang cuba diketengahkan dalam tulisan ini adalah usaha mewujudkan environment yang selesa untuk wanita Islam bersosial tanpa menjejaskan pegangan syariat telah wujud di peringkat global. Di negara kita, Sukan Nisa' - acara sukan khas untuk wanita berjalan penuh meriah dan warna warni. Kehadiran ratu pecut 200m sukan Asia Doha, Ruqayya al-Ghasara mencetus semangat peserta dan penganjur. Bagaimanapun tidak semua yang melihat ini sebagai satu perkembangan sihat. Menteri Belia dan Sukan, Azalina Othman Said dan Ketua Puteri Umno, Noraini Ahmad (yang tidak punyai apa-apa portfolio dalam kerajaan) tidak berpuashati kerana lelaki tidak dibenarkan menyaksikan sukan itu. Hujah mereka kaum kerabat lelaki peserta tidak dapat memberi sokongan moral. Itu jugalah yang dikritik pengarang The Star, Wong Chun Wai yang selalunya sinis dengan apa jua perkembangan di Kelantan.

Penulis pernah berbual dengan seorang teman, prof madya di sebuah IPTA tentang perkembangan ini. Sambil menyatakan sokongannya terhadap Nisa' Games yang berlangsung di Kelantan, beliau mempunyai pandangannya sendiri tentang fenomena segregasi gender ini. Menurut beliau, mengapakah kerajaan negeri begitu obses dengan peraturan segregasi gender sehingga mengasingkan kaunter lelaki dan wanita di pasaraya. Mengapa tidak diwujudkan kaunter khas untuk wanita. Maksud beliau, biarlah wanita yang mahu berbaris di kaunter khas wanita berbuat demikian, manakala yang mahu terus berbaris di kaunter biasa berbuat demikian.

Menurutnya, adalah lebih praktikal untuk orang ramai khususnya wanita diberikan pilihan daripada dipaksa untuk ke barisan tertentu yang mungkin menyulitkan mereka khususnya kepada yang berkeluarga.

Beliau memberi contoh Jepun yang menyediakan gerabak keretapi khas untuk wanita dan beberapa bandar di India yang menyediakan bas khas untuk wanita. Pokoknya wanita diberi kebebasan untuk memilih - tempat khusus untuk wanita atau kaunter dan kenderaan awam yang bersifat uniseks. Mungkin cadangan ini dapat menutup mulut wanita dan lelaki gatal yang saja-saja mahu bercampur di khalayak umum tanpa sebarang alasan yang munasabah. Sekurang-kurangnya wanita kita bahkan wanita di seluruh dunia punyai pilihan. Maaflah ya! Ini khusus untuk wanita...

http://www.harakahdaily.net

Thursday, February 19, 2009

Kisah perempuan miskin, lembu tua dan Gaza

Lokasi kisah benar ini berlaku di salah sebuah daerah di Yaman dan ianya terjadi dalam bulan Januari lalu.

Kisah penderitaan dan keperitan yang dilalui oleh penduduk Gaza tersebar ke seantero dunia. Semua marah, benci, kesumat dan mendidih pedih. Lebih banyak yang terasa sayu dan terharu apabila kanak-kanak kecil nan comel menjadi korban muntahan peluru dan darah membasah bumi tanpa henti.

Tragedi dasyhat ini juga sampai juga ke pengetahuan seorang perempuan tua yang hidup miskin di salah sebuah kampung di Yaman. Sama seperti oarang lain, dia juga turut sedih dan pilu sehingga berjurai air mata.

Lantas suatu hari, dia berazam sedaya upaya untuk cuba membantu sekadar mampu. Kebetulan , 'harta' yang dia ada hanyalah seekor lembu tua, terlalu uzur, kurus dan sudah tidak bermaya.

ImageDengan semangat tinggi dan perasaan simpati amat sangat, dia berhajat menyedekahkan lembunya itu kepada penduduk Gaza lalu berjalan kaki dari rumah pergi ke salah sebuah masjid di Yaman sambil memegang lembu tunggal kesayangannya itu.

Kebetulan hari itu Jumaat dan para jemaah sudah mengerumuni pekarangan masjid untuk melaksanakan ibadat tersebut.

Ketika itu, betapa ramai yang memerhati dan menyorot mata melihat gelagat perempuan tua nan miskin dengan lembunya yang berada di sisi luar masjid. Ada yang mengangguk, ada yang menggeleng kepala. Tanpa kecuali ada juga yang tersenyum sinis malah terpinga-pinga melihat perempuan miskin itu setia berdiri di sisi lembunya.

Masa berlalu, jemaah masjid walaupun khusyuk mendengar khutbah imam namun sesekali memerhati dua mahkhluk tuhan itu. Perempuan dan lembu itu masih di situ tanpa ada cebis rasa malu atau segan diraut wajah.

Setelah imam turun dari mimbar, solat Jumaat kemudiaannya dilakukan, biar dibakar terik mentari dan peluh menitis dan memercik di muka, perempuan dan lembu tua itu masih lagi di situ.

Sebaik selesai sahaja semua jemaah solat dan berdoa, tiba-tiba perempuan itu dengan tergesa-gesa mengheret lembu itu betul-betul di depan pintu masjid sambil menanti dengan penuh sabar tanpa mempedulikan jemaah yang keluar. Ramai juga yang tidak berganjak dan perasaan ingin tahu, apa bakal dilakukan oleh perempuan tua itu.

Tatkala keluar imam masjid, perempuan tua itu bingkas berkata :" Wahai imam, aku telah mendengar kisah sedih penduduk di Gaza. Aku seorang yang miskin tetapi aku bersimpati dan ingin membantu. Sudilah kau terima satu-satunya lembu yang aku ada untuk dibawa ke Gaza, beri kepada penduduk di sana."

Gamam seketika. Imam kaget dengan permintaan perempuan itu namun keberatan untuk menerima. Ya, bagaimana nak membawa lembu tua itu ke Gaza, soal imam itu. Keliling-kelalang para jemaah mula bercakap-cakap. Ada yang mengatakan tindakan itu tidak munasabah apatah lagi lembu itu sudah tua dan seolah-olah tiada harga.

"Tolonglah..bawalah lembu ini ke Gaza. Inilah saja yang aku ada. Aku ingin benar membantu mereka," ulang perempuan yang tidak dikenali itu. Imam tadi masih keberatan.Masing-masing jemaah berkata-kata dan berbisik antara satu sama lain. Semua tertumpu kepada perempuan dan lembu tuanya itu.

Mata perempuan tua yang miskin itu sudah mula berkaca dan berair namun tetap tidak berganjak dan terus merenung ke arah imam tersebut. Sunyi seketika suasana.

Tiba-tiba muncul seorang jemaah lalu bersuara mencetuskan idea:" Tak mengapalah, biar aku beli lembu perempuan ini dengan harga 10,000 riyal dan bawa wang itu kemudian sedekahkanlah kepada penduduk di Gaza.

Imam kemudiannya nampak setuju. Perempuan miskin yang sugul itu kemudian mengesat-ngesat air matanya yang sudah tumpah. Dia membisu namun seperti akur dengan pendapat jemaah itu.

Tiba-tiba bangkit pula seorang anak muda, memberi pandangan yang jauh lebih hebat lagi:"Apa kata kita rama-ramai buat tawaran tertinggi sambil bersedekah untuk beli lembu ini dan duit itu nanti diserahkan ke Gaza?"

Perempuan itu terkejut, termasuk imam itu juga. Rupa-rupanya cetusan anak muda ini diterima ramai. Kemudian dalam beberapa minit bidaan itu pun bermula dan ramai kalangan jemaah berebut-rebut menyedekahkan wang mereka untuk dikumpulkan.

Ada yang membida bermula dari 10,000 ke 30,000 riyal dan berlanjutan untuk seketika. Suasana pekarangan masjid di Yaman itu menjadi riuh, apabila jemaah membida 'bertubi-tubi' sambil bersedekah.

Akhirnya lembu tua, kurus dan tidak bermaya milik perempuan tua miskin itu dibeli dengan harga 500,000 riyal (sekitar RM500,000.00)!

Semua melalui bidaan para jemaah dan orang ramai yang simpati dengan penduduk Gaza termasuk niat suci perempuan miskin itu. Paling manis, setelah wang itu diserahkan kepada imam masjid itu, semua sepakat membuat keputusan sambil salah seorang jemaah bersuara kepada perempuan tua itu.

"Kami telah membida lembu kamu dan berjaya kumpulkan wang sejumlah 500,000 riyal untuk memiliki lembu itu. Akan tetapi kami telah sepakat, wang yang terkumpul tadi diserahkan kepada imam untuk disampaikan kepada penduduk Gaza dan lembu itu kami hadiahkan kembali kepada kamu," katanya sambil memerhatikan perempuan tua nan miskin itu kembali menitiskan air mata...gembira.

Tanpa diduga, Allah mentakdirkan segalanya, hajat perempuan miskin itu untuk membantu meringan beban penderitaan penduduk Palestin akhirnya tercapai dan dipermudahkan sehingga berjaya mengumpulkan wang yang banyak manakala dia masih lagi terus menyimpan satu-satunya 'harta' yang ada. Subhanallah.

Justeru, iktibarnya ialah segala niat murni yang baik sentiasa mendapat perhitungan dan ganjaran Allah apatah lagi ianya datang daripada hati kecil seorang yang miskin yang mahu membantu umat islam yang menderita akibat dizalimi rejim zionis israel biarpun diri serba payah dan serba kekurangan.

Sekiranya anda bersimpati, sudilah hulurkan sumbangan,demi insan-insan yang sedang dizalimi di Palestin melalui Tabung Kemanusiaan Harakah di akaun BIMB: 14069010021298

(Kisah ini telah diceritakan semula oleh Timbalan Mursyidul Am PAS Dato' Haron Din kepada Harakahdaily melalui kisah benar yang dipaparkan di sebuah majalah Arab)

http://www.harakahdaily.net

Friday, February 13, 2009

~WANITA dan KEMULIAAN~

WANITA
Renunglah dengan mata hati
Bukanlah dengan emosi
Adakah hadirmu menguntungkan
Atau ianya sekadar mengisi kekosongan

Oh,WANITA
Sering kali engkau berduka
Kononnya engkau sering dipersenda
Oleh kerana hakmu diperguna
Engkau seolah-olah insan yang hina
Hanya berada di belakang pemuda
Sehingga timbulnya pelbagai suara
Yang menuntut hak sama rata

Wahai WANITA
Adakah engkau sudah lupa?
Engkau sebenarnya amat ISTIMEWA
Ayuh bukalah mata dan minda
Untuk merenung seketika
Agar engkau tidak lagi alpa
Bahawasanya engkau terlalu MULIA

Duhai WANITA
Engkau bukanlah dijadikan daripada kepala
Untuk menjadi ketua segala ketua
Dan engkau juga bukan dijadikan daripada kaki
Untuk dihina dan dikeji ataupun dicaci
Tetapi engkau dijadikan daripada tulang rusuk
Yang terletak dekat dengan hati
Untuk dikasihi dan disayangi

Ingatlah WANITA
Dari rahimmu yang sempit itulah
Lahirnya seorang perdana menteri
Lahirnya seorang ulama sejati
Lahirnya seorang mujahid berani
Lahirnya seorang rasul dan nabi
Tidak dari rahim lelaki
Tidakkah engkau mengerti?
Kedudukanmu terlalu tinggi

WANITA
Sebagai IBU ratu sanubari hati
Mentaatimu adalah tiket ke syurga
Berbakti kepadamu petunjuk sifat taqwa
Mengasihimu lambang akhlak yang mulia
Mengabaikanmu membawa celaka
Mengetepikanmu seolah-olah tiada makna di dunia

Wahai WANITA
Andainya pena dijadikan perantaraan
Untuk membuat segala penilaian catatan
Untuk membuktikan segala KEISTIMEWAAN
Nescaya tiada kemampuan
Kerana engkau terlalu diagungkan
Cukuplah jika engkau telah membuat persediaan
Berlandaskan ilmu dan keimanan
Bukannya berdasarkan emosi dan perasaan
Pastinya engkau dapat menerima kenyataan
Bahawa engkau sebenarnya terlalu dimuliakan
Mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi Tuhan

RockYou FXText