Monday, April 6, 2009

ILMU ITU CAHAYA JAHIL ITU BAHAYA

Di akhir zaman ini ramai dari kalangan ahli abid tertipu dengan banyaknya ibadah yang dilakukan. Berlakunya ini semua kerana si ahli abid merasakan setiap ibadah yang dikerjakan tanpa menyandarkan perbuatan dan amalannya itu dengan izin dan rahmat Allah jua. Tanpa keizinan Allah, tanpa rahmat dan kasih sayang Allah serta tanpa kudrat dan Iradah dari Allah swt, kita semua lemah tidak mampu berbuat apa-apa. Kalau tidak Allah izinkan, hendak gerakkan lidah untuk bertutur bicara pun kita tidak akan mampu apatah lagi untuk duduk bangun, rukuk, sujud menyembah Allah swt.

Maka patutkah kita berbangga dan sombong dan berasa hebat kiranya kita berjaya dan berkebolehan dalam melaksanakan sesuatu amalan? Kalau kita mampu bangun malam beribadah dan banyak sembahyang sunat hingga kita menjadi abid, siapakah yang hebat? Kita hebatkah atau Allah yang hebat? Tentulah Allah yang hebat kerana Allah telah memberikan kita kemampuan untuk beribadah, kalau kita bersembahyang, berpuasa, menutup aurat, mampu menulis artikel dan sebagainya, apakah itu semua keupayaan kita? Tidak itu semua dengan rahmat dan kasih sayang Allah. Tanpa rahmat dan kasih sayang Allah tentu kita engkar dan sesat seperti orang lain juga.

Ingatlah, pembaca budiman kiranya kita angkuh, riak, ujub dan takabur dengan apa yang ada pada kita, tidak mustahil suatu hari Allah akan tarik balik nikmat-Nya yang dikurniakan kepada kita. Katalah ketika ini kita tergolong ke dalam golongan orang yang berharta, kaya raya, harta melimpah ruah kita pun tidak sedar diri. Kononnya kitalah manusia yang paling mewah dan kaya raya di dunia ini. Hasil dari sifat takabur dan angkuh itu sudah tentu kita menjadi seorang yang kedekut, bakhil, tamak dengan harta, mahu keluarkan sepuluh sen pun untuk membantu anak-anak yatim dan fakir miskin fikir seribu kali.



Harta itu hanya pinjaman Allah, sekelip mata Allah boleh papa kedanakan si kaya yang sombong. Andaikata seseorang itu dikurniakan ilmu kepadanya sehingga dengan ilmunya itu jadilah dia orang terkenal, di sanjung di puja maka mulalah penyakit hati menyerang jantung kalbunya jadilah dia seorang ahli ilmu yang bongkak, rasa diri lebih, lebih bijak dari orang lain, pandangan dan pendapat orang lain semuanya salah, pandangannya sajalah yang tepat dan betul. Golongan ini sungguh tertipu dan rugilah ia kalau ia tidak cepat-cepat bertaubat.


Walaupun kita menjadi seorang alim ulama atau penulis artikel tapi itu semua bukannya membuktikan kehebatan kita, bukan juga kepandaian dan kepintaran kita tetapi itu semua rahmat dan pinjaman dari Allah semata-mata. Itu satu amanah dari Allah, di akhirat kelak Allah akan persoalkan..... “Ilmu yang penuh di dalam dadamu wahai hambaku..... ke mana kamu salurkan? Adakah untuk mengajak manusia menyembah Aku atau dengan ilmu itu engkau menyesatkan dirimu juga orang lain?” Alangkah malangnya ketika itu kiranya jawapan demikian kita persembahkan kepada Allah swt (kerana di akhirat nanti tidak boleh lagi kita berbohong dan berselindung apa-apa dari Allah): “Tuhanku, aku gunakan ilmu yang Engkau kurniakan untukku dahulu ke jalan kemurkaan-Mu, dengan ilmu itu kuambil peluang untuk mencari publisiti, cari nama dan kemasyhuran, cari kemewahan, memandang rendah dan hina pada si jahil yang sepatutnya aku yang bertanggungjawab membasmi kejahilan di dada hamba-hamba-Mu, semakin aku lupa pada-Mu, semakin aku ego, sombong dan rasa diriku tuan, malah bila orang lain sesekali buat kesalahan, aku hukum mereka, seolah-olah aku Tuhan.....”


Maka menangislah golongan ahli ilmu yang tertipu dengan ilmunya itu. Menurut Matan Zubat: “Ahli ilmu yang fasik akan dibenci Allah dan akan dihumbankan ke dalam lubuk neraka lebih dahulu daripada orang kafir penyembah berhala.” Wal ‘iyazubillah. Alangkah beruntungnya ketika Allah minta pengakuan dari hambanya di Yaumil Mahsyar kelak kita dapat menjawab sekurang-kurangnya begini: “Wahai Tuhanku, sesungguhnya dengan ilmu yang Engkau kurniakan padaku, kugunakan sebaik-baik penggunaan. Aku mengajak manusia yang jahil ke arah kebenaran, aku menyeru umat manusia agar menyembah-Mu, sujud syukur pada-Mu, aku mengajak manusia beriman pada-Mu, pada Rasul-Mu dan pada hari kemudian, pada syurga dan neraka-Mu, kuajak lagi manusia agar berfikir tentang keagungan dan kehebatan-Mu menjadikan alam yang luas terbentang ini.....” Begitulah jawapan orang yang alim yang terpimpin lagi di kasihi Allah. Semakin berilmu semakin ia rendah diri, semakin ia merasakan dirinya lebih banyak dosa kalau hendak dibandingkan dengan orang lain, seringkali merasakan dirinya tiada apa-apa hanya yang ada seribu kelemahan dan kekurangan. Inilah resmi padi, makin berisi, semakin tunduk ke bawah. Selamatlah golongan ini. Ilmu yang beginilah yang dikatakan membawa cahaya kepada mereka yang berilmu. Ilmu merupakan cahaya yang menerangi hidup seseorang insan yang sedang teraba-raba dalam kegelapan.


Ilmu yang mengajak manusia mengenal dan mentauhidkan Allah. Bukannya ilmu yang semakin didalami semakin ia lupa pada Allah, semakin tinggi ilmunya semakin ia kufur dengan Allah. Tanda ilmu itu tidak berkat, semakin kita menuntut ilmu semakin angkuh dan sombong, samada dengan Allah mahupun sesama manusia. Semakin berilmu semakin rasa diri hebat, tidak langsung merasa hebatnya dan Maha Kuasanya Allah. Semakin menuntut ilmu, penyakit hati semakin tebal bersarang dalam dada seperti sombong, ego, riak, ujub, takabur, merasa diri mulia, memandang rendah pada orang lain dan sebagainya. Andai kata kita tidak sempat bertaubat sedangkan dalam diri kita penuh dengan penyakit-penyakit hati itu, ingatlah tempat yang selayaknya adalah lubuk neraka yang terbawah sekali. Lebih berat lagi para alim ulama yang tidak beramal dengan ilmunya dan tidak menyampaikan ilmu yang ada dalam dadanya pasti akan mendapat laknat Allah. Mereka masuk neraka lebih dulu dari penyembah berhala. Marilah sama-sama kita berdoa agar kita semua menjadi ahli ilmu yang bakal menerangi alam fana ini dengan cahaya ilmu yang kita pelajari.


Sematkan dalam dada dan hati: “Aku akan membasmi kejahilan kerana kejahilan itu bahaya dan bisa menjerumuskan diriku ke neraka dan bisa menghancurkan perpaduan umat Islam di dunia ini.”


“Ada dua orang yang mendatangkan bala bencana kepada kita iaitu orang yang berilmu tidak menjaga kehormatan dan orang yang bodoh kuat beribadah. Orang yang bodoh itu menipu dengan peribadatannya dan orang yang berilmu itu menipu manusia dengan kelengahannya.”

Thursday, April 2, 2009

Graduan: Matlamat Hidup dan Kerjaya

Matlamat Siswazah dan Graduan

Matlamat adalah destinasi hidup. Ia ditentukan oleh kepercayaan yang dipegang oleh seseorang. Seorang siswazah yang berfahaman sosialis, jika beliau mahu berpatisipasi di dalam kelompok sosialnya, akan melihat segala kepincangan yang berlaku dari kaca mata sosialisma. Manakala siswazah yang menganut demokrasi, akan mencari jalan penyelesaian kepada kegawatan masyarakatnya dari sudut prinsip demokrasi yang dipercayainya sebagai jalan keluar.

Bagi graduan muslim, alam siswazah semestinya sudah cukup untuk menjelaskan kepada kita tentang matlamat yang seharusnya menjadi destinasi perjuangan. Segulung ijazah yang terhasil adalah bekalan untuk mengejar matlamat yang semestinya bukan direka cipta sendiri atau oleh sesiapa, melainkan telah ditetapkan oleh Allah SWT di dalam suatu sistem yang bernama ‘Ad-Din’.

Firman Allah SWT:

“Adalah tidak wajar umat Islam itu keluar semua sekali ke medan peperangan. Mengapa tidak pergi dari tiap-tiap golongan di antara mereka beberapa orang yang memperdalam pengetahuan mereka tentang agama, supaya dengan itu mereka akan memberikan peringatan kepada kaumnya apabila mereka telah kembali kepadanya, supaya kaum mereka itu beringat-ingat (dapat menjaga diri)” (At-Taubah 9 : 122)

Intisari ayat ini:

  • Kelangsungan wujudnya golongan yang bertafaqquh di dalam ilmu agama adalah fardhu yang sama pentingnya dengan kelangsungan barisan mujahidin. Mujahidin mempertahankan agama, dan ahli tafaqquh menghasilkan mujahidin.
  • Matlamat bertafaqquh fi ad-dien pula adalah menyampaikan peringatan (inzar) kepada kaum masing-masing (dalam konteks ayat di atas, iaitu kepada mujahidin yang kembali ke masyarakat selepas perang). Inzar itu sendiri mendukung makna yang besar, bukan setakat menyampaikan ilmu bahkan menunaikan hak amar makruf dan nahi munkar.
  • Matlamat inzar itu sendiri pula adalah untuk menyedarkan masyarakat tentang hukum dan peraturan Allah SWT, memelihara batas-batas Allah; atau dalam erti kata yang lain, terus menerus menegakkan Islam sebagai manhaj hidup.

Oleh yang demikian, jelas kepada kita apakah sebenarnya peranan, matlamat dan ‘kerjaya’ yang menanti graduan seperti kita.

Sebagai peringatan, ‘kerjaya’ lulusan tafaqquh fi ad-dien bukanlah sebagaimana kerjaya menurut takrifan umum. Ia bukan bidang yang dipilih, bergaji, mempunyai cuti tahunan dan cuti sakit. Ia adalah amanah Allah, tanggungjawab Kalimah Syahadah yang tersimpul di dalam satu kalimah yang mudah – ibadah!

Kerjaya

Bahan fikir yang sentiasa merunsingkan seorang graduan ialah tentang pekerjaan. Keberhasilan sebuah pekerjaan yang baik adalah sama penting dengan kejayaan mendirikan rumah tangga. Dua topik ini merupakan capaian terdekat yang biasa diusahakan oleh seorang graduan. Bagi menentu dan menyesuaikan pekerjaan (kerjaya) dengan amal Islami, apakah faktor yang mesti dipertimbangkan?

  • Masyarakat Tempatan – seorang graduan sepatutnya sudah memahami atau sekurang-kurangnya bersedia untuk memahami permasalahan yang wujud di dalam masyarakat tempat ia kembali. Kemampuan untuk memahami hal ini, dan seterusnya menentukan keperluan yang dihajati oleh mereka, membolehkan kita membuat keputusan yang tepat. Kes contoh: Anda adalah satu-satunya lulusan bidang agama di dalam masyarakat tempatan berkenaan dan mereka memberikan sepenuh harapan agar anda mengisi kekosongan ‘tugas’ yang ada. Faktor ini sepatutnya dimasukkan sama di dalam perancangan lokasi kerja kita, supaya tidak berjauhan dari masyarakat berkenaan.
  • Kemahiran Berdakwah – Bagi seorang graduan yang mempunyai kemampuan bercakap, beliau mempunyai medan partisipasi yang lebih luas. Manakala yang lebih mahir pada aspek yang lain seperti kecekapan mengurus dan mentadbir atau mungkin menulis, maka skil di bidang berkenaan mesti dimaksimumkan penggunaannya. Seorang graduan wajib mempunyai sekurang-kurangnya satu kemahiran sebagai wasilah partisipasi.
  • Latar Belakang Keluarga – Keluarga yang menyokong dan menyertai amal Islami adalah peluang besar kepada seorang graduan untuk meneruskan sumbangannya. Walau bagaimanapun, perbezaan fikrah dan kefahaman sama ada antara Islam dan sekularisma, mahu pun perbezaan jemaah, mestilah ditangani dengan hikmah.
  • Kemampuan Ilmu – Ia merupakan faktor yang sepatutnya telah diselesaikan sebelum seorang siswazah bergelar graduan. Seorang graduan yang gagal menguasai ilmu akan berhadapan dengan dilema semasa meneruskan amal Islami di medan post-graduation. Penentuan kerjaya dan penglibatan di dalam amal Islami banyak dipengaruhi oleh hal ini.

Oleh yang demikian, seorang graduan lulusan agama sebenarnya bebas untuk menentukan apakah kerjaya yang ingin diceburi sebagai wasilah sumber pendapatan hidup sebagaimana warganegara yang lain. Akan tetapi ia mestilah tidak bercanggah atau mengabaikan matlamat besar 9:122 (At-Taubah 9 : 122) dan seterusnya memelihara faktor-faktor pertimbangan yang telah dihuraikan di atas.

sumber: http://www.webnisa.net


RockYou FXText