Thursday, August 9, 2012

Malam Keberkatan Hebat

Malam al-Qadar sunat dicari, kerana malam ini merupakan suatu malam yang diberkati serta mempunyai kelebihan dan diperkenankan doa oleh Allah S.W.T. Malam al-Qadar adalah sebaik-baik malam mengatasi semua malam termasuk malam Jumaat. Allah S.W.T. berfirman dalam Surah al-Qadr 97: Ayat 3. Maksudnya:"Lailatul Qadar lebih baik daripada seribu malam. "

Ertinya menghidupkan Lailatul-Qadar dengan mengerjakan ibadah adalah lebih baik daripada beribadah pada seribu bulan yang tidak ada Lailatul-Qadar seperti sabda Nabi s.a.w.: Maksudnya: " Sesiapa menghidupkan Lailatul-Qadar kerana beriman serta mencari pahala yang dijanjikan akan mendapat pengampunan daripada dosa-dosa yang telah lalu."

Diriwayatkan daripada Saiyidatina Aisyah r.a bahawa Rasulullah s.a.w. apabila tiba sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan, baginda menghidupkan malam-malamnya dengan membangunkan isi rumah dan menjauhi daripada isteri-isterinya. Imam Ahmad dan Muslim meriwayatkan: Maksudnya:" Rasulullah s.a.w. berusaha sedaya upaya dalam malam-malam sepuluh akhir Ramadhan melebihi usahanya daripada malam-malam lain."

 Lailatul-Qadar berlaku pada sepuluh akhir daripada malam ganjil bulan Ramadhan. Rasulullah s.a.w. bersabda: Maksudnya:" Carilah Lailatul-Qadar pada sepuluh akhir bulan Ramadhan dalam malam ganjil."

Pendapat yang terkuat mengikut para ulama' bahawa Lailatul Qadar terkena pada malam 27 Ramadhan. Menurut Abu Ka'ab katanya, "Demi Allah sesungguhnya ibn Mas'ud telah meyakinkan bahawa Lailatul-Qadar jatuh dalam bulan Ramadhan manakala Lailatul-Qadar pula terjatuh pada malam 27, akan tetapi dia enggan memberitahu kepada kami (malam yang tepat) kerana bimbangkan kamu tidak lagi berusaha mencarinya."

[Daripada Riwayat Mu'awiyah: Maksudnya: " Bahawa Nabi Muhammad s.a.w telah bersabda malam lailatul-qadar iaitu malam ke-27." Riwayat ini disokong oleh pendapat Ibn Abbas yang mengatakan bahawa surah al-Qadr mempunyai 30 perkataan. Perkataan yang ke-27 bagi surah itu terjatuh kepada dhamir(hia) yang kembalinya kepada Lailatul-Qadar.

Imam Ahmad telah meriwayatkan sebuah Hadis daripada Ibn Umar r.a yang berbunyi: Maksudnya: "Sesiapa yang mencari Lailatul-Qadar , dia hendaklah mencarinya pada malam yang ke-27, carilah kamu Lailatul-Qadar pada malam yang ke-27." Aisyah r.a. bertanya kepada Rasulullah, katanya, "Ya Rasulullah s.a.w. andainya aku mendapati Lailatul-Qadar, apakah doa yang patut aku bacakan? Rasulullah s.a.w. berdoa dengan doa: Maksudnya: "Ya Allah! Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, oleh itu berilah keampunan-Mu untukku."

 هَـٰذَا بَلَاغٌ لِّلنَّاسِ وَلِيُنذَرُوا بِهِ وَلِيَعْلَمُوا أَنَّمَا هُوَ إِلَـٰهٌ وَاحِدٌ وَلِيَذَّكَّرَ أُولُو الْأَلْبَابِ
(Al-Quran) ini disampaikan kepada manusia supaya mereka diberi ingat dan diberi nasihat dengannya; dan supaya mereka mengetahui (dengan hujah-hujah yang tersebut di dalamnya) bahawa sesungguhnya Allah adalah Tuhan Yang Maha Esa; dan supaya orang-orang yang mempunyai fikiran, beringat dan insaf. [Surah Ibrahim 14: Ayat 52]  

sumber: www.iluvislam.com

Thursday, July 19, 2012

Ahlan Wa Sahlan Ya Ramadhan


Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: "Apabila datangnya bulan Ramadhan, pintu-pintu Syurga dibuka, manakala pintu-pintu Neraka ditutup, Syaitan dirantaikan."
[Riwayat Bukhari & Muslim]

Kelebihan Bulan Ramadhan
i) Perkataan Ramadhan berasal dari kata dasar 'ra-mim-dal', yang bererti "panas" atau "panas yang menyengat". Perkataan ini berkembang sehingga ertinya membawa maksud "menjadi panas atau sangat panas", atau diertikan juga sebagai "hampir membakar". Oleh itu makna Ramadhan boleh diringkaskan sebagai waktu atau keadaan di mana seseorang merasa panas, mulut terasa kering dan tenggorok terasa haus disebabkan sedang berpuasa.

ii) Manakala perkataan puasa dalam bahasa Arab disebut 'Siyam' atau 'Soum' Kedua-duanya berasal dari kata dasar 'Sa-wa-ma', di mana secara etmologinya bererti menahan diri daripada segala yang dilarangnya serta mengikuti apa yang diperintahkan-Nya. Hal ini dapat diwujudkan dengan adanya perasaan takut (taqwa) kepada Allah S.W.T.

iii) Pada bulan Ramadhan umat Islam diwajibkan berpuasa kerana dengan puasalah nafsu akan terdidik. Bahkan dengan rahmat Allah S.W.T di bulan ini segala Syaitan dan Iblis dibelenggu dan Allah juga membuka pintu Syurga dan menutup pintu Neraka. Maka dalam situasi demikian kita hendaklah mengambil peluang untuk menguatkan jiwa dan rohani dengan mengerjakan amal ibadah seperti sembahyang tarawikh dan membaca al-Quran sesuai dengan kemuliaan dan kebesaran bulan tersebut.

iv) Selain itu Allah S.W.T juga memberikan dorongan untuk kita berusaha memperbanyakkan ibadah dengan melipat gandakan pahala pengamalnya serta disediakan satu malam yang lebih baik iaitu 'Lailatul Qadar' di mana kelebihannya menandingi 1000 bulan malam-malam biasa.

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِيَ أُنزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِّنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ فَمَن شَهِدَ مِنكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ وَمَن كَانَ مَرِيضًا أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِّنْ أَيَّامٍ أُخَرَ يُرِيدُ اللّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلاَ يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ وَلِتُكْمِلُواْ الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُواْ اللّهَ عَلَى مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ
(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadhan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah dia berpuasa bulan itu dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah dia berbuka, kemudian wajiblah dia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadhan) dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya dan supaya kamu bersyukur.
[Surah Al-Baqarah 2 : Ayat 185]
sumber:http://www.iluvislam.com 

RockYou FXText